KUALA LUMPUR, 13 Jun – Penumpang yang terkesan akibat pemberhentian operasi Jetstar Asia Airways (Jetstar Asia) disaran segera mengambil tindakan untuk mendapatkan bantuan secara langsung daripada syarikat penerbangan tersebut.
Pengguna penerbangan juga boleh menghubungi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melalui saluran rasminya bagi sebarang bantuan lanjut.
''Selaras Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), pengguna yang terjejas akibat pemberhentian operasi berhak menerima pilihan bayaran balik kos tiket sepenuhnya termasuk cukai dan fi dalam mod bayaran asal dalam tempoh 30 hari.
Pengguna juga layak ditawarkan perubahan laluan ke destinasi akhir menggunakan keadaan pengangkutan yang setanding,'' jelas MAVCOM dalam satu kenyataan.
Jetstar Group kelmarin mengumumkan pemberhentian operasi subsidiarinya yang berpangkalan di Singapura, iaitu Jetstar Asia.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu akan menamatkan operasinya secara rasmi pada 31 Julai 2025.
Pemberhentian operasi tersebut tidak menjejaskan penerbangan Jetstar Airways (JQ) termasuk penerbangan antarabangsa antara Australia dan Asia Tenggara serta penerbangan Jetstar Japan (GK).
Jetstar turut memaklumkan bahawa pelanggan akan diberitahu secara langsung mengenai sebarang perubahan kepada penerbangan yang dijadualkan sebelum 31 Julai 2025.
Pengguna penerbangan dinasihat untuk memantau e-mel dan status tempahan masing-masing serta menyemak bahagian makluman perjalanan di laman web Jetstar dari semasa ke semasa untuk mendapatkan perkembangan terkini.