fb fb fb fb fb

RM151.7bil nilai jualan sektor perdagangan borong, runcit

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Jun - Nilai jualan sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia catat pertumbuhan 4.7 peratus tahun ke tahun kepada RM151.7 bilion pada April 2025.

Prestasi memberangsangkan itu dipacu peningkatan dalam dua subsektor utama iaitu perdagangan borong dan perdagangan runcit, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perdagangan borong mencatat jumlah jualan RM67.3 bilion, meningkat 5.5 peratus, menunjukkan kestabilan aktiviti perniagaan di seluruh rantaian bekalan.

''Manakala, subsektor perdagangan runcit menyumbang RM66.8 bilion, melonjak 4.7 peratus tahun ke tahun, selaras dengan peningkatan perbelanjaan pengguna sempena Hari Raya Aidilfitri.

''Subsektor kenderaan bermotor failkan jualan RM17.6 bilion, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM0.4 bilion atau 2.1 peratus,'' katanya menerusi kenyataan.

Seiring pertumbuhan sektor perdagangan, transaksi pembayaran digital turut rekod peningkatan kukuh.

''Transaksi melalui Real-time Retail Payments Platform (RPP) berjumlah RM277.8 bilion, kekal sebagai kaedah pembayaran dengan nilai transaksi tertinggi.

''Diikuti transaksi FPX yang meningkat sebanyak 25.4 peratus kepada RM35.5 bilion, disokong aktiviti perbankan dalam talian yang lebih rancak.

''Manakala, transaksi wang elektronik melonjak sebanyak 68.7 peratus kepada RM19.7 bilion, mencerminkan penggunaan yang lebih tinggi dalam pembayaran mikro dan runcit,'' tambahnya.

Selain itu, transaksi kad kredit kekal stabil pada RM17.7 bilion, manakala transaksi kad debit merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus kepada RM13.3 bilion.

Data ini menunjukkan perkembangan berterusan dalam penggunaan pembayaran digital, selari perubahan corak transaksi serta integrasi digital yang semakin meluas dalam ekosistem pembayaran di Malaysia.

NORAINI BINTI WAHIB