fb fb fb fb fb

Usahawan mikro, TEKUN Nasional permudah urusan pembiayaan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Sebanyak 246,622 permohonan dengan nilai pembiayaan RM5.7 bilion telah diterima Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sejak 2020 hingga 2023.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.34 bilion telah diluluskan kepada  206,174 usahawan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata, Tekun Nasional juga telah mempermudah skim pembiayaan usahawan mikro dengan mengurangkan tempoh kelulusan, pengeluaran pembiayaan serta mengurangkan keperluan dokumentasi permohonan.

"Keperluan dokumentasi permohonan dikurangkan daripada 17 dokumen kepada empat dokumen sahaja iaitu salinan kad pengenalan pemohon, salinan daftar syarikat atau permit, gambar premis perniagaan dan salinan penyata kewangan.

“Selain itu, tempoh kelulusan pembiayaan juga dikurangkan kepada tujuh hari bekerja berbanding 21 hari bekerja manakala urusan penyaluran peruntukan dilaksanakan dalam tempoh tiga hari bekerja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Tambah Ramanan, antara syarat permohonan pinjaman TEKUN Nasional ialah bumiputera dan warganegara Malaysia (masyarakat India bagi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India atau SPUMI) dan berumur 18 hingga 65 tahun bagi tempoh pembiayaan tamat sehingga 65 tahun serta bukan seorang muflis.

Syarat lain katanya, syarikat hendaklah 100 peratus hak milik bumiputera dan warganegara Malaysia (syarikat 100 peratus hak milik masyarakat India bagi SPUMI) serta mempunyai lokasi perniagaan yang khusus atau berniaga secara bergerak atau dalam talian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN