fb fb fb fb fb

Usaha konsisten meletakkan mata wang ringgit terbaik di rantau Asia

Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 22 Julai -Usaha menggalakkan aliran masuk dana yang lebih konsisten dalam pasaran kewangan domestik, berjaya meletakkan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia berbanding dolar Amerika Syarikat.

Aliran masuk dana itu termasuk penghantaran balik dan pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLICs).

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Senator Dato' Shamsuddin Abd Ghaffar memaklumkan setakat 17 Julai lalu, ringgit diniagakan pada paras 4.6642, berbanding 4.7987, nilai tukaran yang terendah yang pernah dicatatkan tahun ini.

Kadar Pertukaran Efektif Normal (NEER) Ringgit, yang merupakan kayu ukur prestasi ringgit berbanding rakan dagangan utama, juga telah meningkat sebanyak 3.4 peratus.

Kementerian Kewangan turut menegaskan bahawa aliran masuk dana dan pelaburan asing ini dijangka berterusan dan seterusnya akan dapat menyokong pengukuhan nilai ringgit.

Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah dan akan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik.

Ia termasuk mengambil langkah operasi intervensi dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

“BNM juga giat menjalankan usaha libat urus dengan syarikat korporat, pengeksport dan pengimport, serta pemantauan penukaran hasil eksport kepada ringgit terhadap syarikat pengeksport,” menurut dokumen jawapan bertulis itu.

Pelaburan yang diluluskan juga kekal menggalakkan dengan rekod suku pertama 2024 sebanyak RM89.7 bilion berbanding suku pertama 2023 sebanyak RM71.4 billion.

Keseluruhan bagi tahun 2023 nilai pelaburan diluluskan mencatat RM330 bilion berbanding 2022 sebanyak RM267.8 bilion.

Menurut Kementerian Kewangan lagi prestasi itu menunjukkan bahawa pelabur kekal yakin terhadap perkembangan ekonomi negara sekali gus menunjukklan pelbagai usaha dilakukan kerajaan telah mula menampakkan hasil positif.

“Selepas enam tahun, JP Morgan telah menaikkan taraf Malaysia daripada underweight kepada neutral berikutan polisi pembaharuan struktur yang telah dilaksanakan, termasuk pelaburan dalam membangunkan pusat hub data serantau dan teknologi hijau,” menurut jawapan bertulis itu

Terdahulu, Senator Dato' Shamsuddin meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah usaha pihak Kerajaan ke arah penambahbaikan nilai Ringgit berbanding Dolar AS dan bilakah usaha itu akan berjaya.

MAT YUNUS BIN SABRI