fb fb fb fb fb

Unjuran KDNK 5.8 peratus, bukti aktiviti ekonomi terus aktif

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2024, pada 5.8 peratus membuktikan aktiviti ekonomi dalam negara bertambah aktif.

Ketua Ahli Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sektor pembinaan dan pertanian menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan positif tersebut.

"Beberapa sektor dilihat mencatat pertumbuhan yang begitu tinggi, sektor yang berkait rapat dengan pembinaan, kekal tumbuh pada kadar dua digit. Ini menunjukkan pelaksanaan projek infrastruktur seperti ECRL, MRT, pada masa akan datang menyumbang kepada sektor pembinaan.

"Kalau kita lihat aktiviti ekonomi dalam peringkat pertanian, sektor perladangan terutamanya kelapa sawit mencatat pertumbuhan yang positif," katanya kepada RTM.

Tambah Mohd Afzanizam, aktiviti ekonomi yang semakin baik turut menyumbang kepada peluang pekerjaan dan pendapatan yang tinggi.

"Sehubungan itu, para peniaga perlu merebut peluang mencapai keuntungan dalam keadaan semasa dan akan datang," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN