KUALA LUMPUR, 16 November – Bursa Malaysia dijangka bergerak mendatar minggu depan berikutan pelabur masih menunggu perkembangan baharu berkaitan dasar global dan data ekonomi utama.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata beberapa indikator global akan menjadi tumpuan, termasuk data inflasi, angka perdagangan dan KDNK Jepun, selain pesanan eksport Taiwan dan data ekonomi Singapura.
“Kesemua indikator ini akan membentuk latar makro serantau ketika sentimen risiko global kekal lemah tetapi menunjukkan tanda pemulihan,” katanya kepada RTM.
Di peringkat domestik, perhatian turut terarah kepada data perdagangan luar Malaysia dan Indeks Harga Pengguna (IHP) Oktober, yang akan diumumkan masing-masing pada Rabu dan Jumaat depan.
Menurut Mohd Sedek, data tersebut akan memberikan gambaran awal mengenai trajektori pertumbuhan suku keempat 2025, selain menunjukkan sama ada tekanan inflasi kekal stabil susulan pelaksanaan BUDI95 pada 30 September.
Beliau berkata, dari sudut ekonomi, subsidi bahan api dijangka meningkatkan kuasa beli sebenar rakyat dan mengurangkan inflasi keseluruhan, sekali gus mempengaruhi unjuran harga jangka pendek.
Dalam pasaran ekuiti pula, pelabur kekal berhati-hati berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan gelembung penilaian kecerdasan buatan (AI) yang menjejaskan saham teknologi Amerika Syarikat, yang secara tidak langsung boleh memberi kelebihan kepada pasaran seperti Malaysia yang lebih tertumpu kepada sektor kewangan.
Bagi minggu berakhir Jumaat, FBM KLCI meningkat 6.54 mata kepada 1,625.67 berbanding 1,619.13 minggu sebelumnya.