KUALA LUMPUR, 16 November- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) komited untuk terus memperkasa usahawan wanita mikro melalui Skim Paduri MADANI yang bakal dilancarkan tahun hadapan.
Pengarah Urusan AIM, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, menerusi suntikan dana tambahan sebanyak RM230 juta di bawah Belanjawan 2026, AIM menyasarkan penyediaan dana kepada 29,000 sahabat usahawan baharu di seluruh negara.
''Dana RM230 juta ini kita akan agih kepada 11 wilayah AIM. Contohnya, untuk wilayah Sabah, pada tahun ini kita peruntuk RM250 juta dana pembiayaan, RM240 juta telah disalurkan dan kita sasar menjelang hujung tahun ini akan menyalurkan RM10 juta lagi."
''Berdasarkan peningkatan tahun ke tahun yang kita lihat di seluruh Malaysia, untuk wilayah Sabah kita sasarkan peningkatan daripada RM250 juta kepada RM285 juta,'' katanya kepada pemberita RTM.
Tambahnya, sepanjang lima tahun lalu, Sabah memiliki sahabat usahawan paling ramai dan penerima pembiayaan tertinggi, diikuti dengan Kelantan dan wilayah-wilayah lain.
Peruntukan di bawah Belanjawan 2026 itu menjadikan keseluruhan dana pembiayaan tahun hadapan meningkat kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.7 bilion sebelum ini.
Ketika ini, AIM mempunyai lebih daripada 320,000 sahabar usahawan wanita di seluruh negara dengan kadar bayaran balik cemerlang sebanyak 99.97 peratus.