KUALA LUMPUR, 16 November- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga sebanyak 5.2 peratus bukti kemampuan negara mengekalkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital Dynamics, Tan Teng Boo menjelaskan pencapaian itu menunjukkan dasar ekonomi negara berada pada landasan yang tepat, walaupun berdepan cabaran ekonomi global termasuk perang tarif Amerika Syarikat (AS) dan negara lain.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh perlu digerakkan seiring dengan peningkatan produktiviti bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi dan maju.
"Kita telah menaikkan gaji minimum, mengurangkan pekerja asing, dan memberi peluang gaji lebih tinggi kepada rakyat. Tetapi dengan gaji lebih tinggi, produktiviti juga mesti meningkat. Hanya dengan itu kita boleh capai ekonomi berpendapatan tinggi dan ekonomi maju," katanya kepada pemberita RTM.
Mengulas mengenai unjuran KDNK suku keempat, beliau optimis prestasi ekonomi negara akan kekal positif berikutan kestabilan asas ekonomi serta kejayaan kerajaan mengurangkan defisit fiskal.
"Ekonomi negara stabil, defisit fiskal berjaya dikurangkan tanpa menjejaskan pertumbuhan KDNK. Berbeza dengan negara seperti Argentina yang mengalami kesan buruk apabila pengurangan perbelanjaan dilakukan secara drastik," tambahnya.
Tan Teng Boo turut berkata tumpuan terhadap sektor semikonduktor dijangka menarik lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI).
"Jika kita lihat FDI dalam tempoh 15 hingga 20 tahun, negara kita berada pada paras tertinggi. Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan berkualiti,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin mengumumkan pertumbuhan KDNK 5.2 peratus pada suku ketiga itu didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta prestasi perdagangan yang memberangsangkan.
Pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah, pasaran buruh yang stabil, serta peningkatan pendapatan yang menyokong corak perbelanjaan pengguna.