fb fb fb fb fb

Skim Pelaburan Ahli KWSP, 189 dana layak ditawarkan

Sejumlah 189 dana Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) mencapai kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahli KWSP untuk tempoh 2024/2025 / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 2 April - Sejumlah 189 dana Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) mencapai kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahli KWSP untuk tempoh 2024/2025.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 296 dana yang diluluskan oleh KWSP daripada 18 institusi Pengurusan.

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof berkata KWSP akan terus menyediakan pilihan dan fleksibiliti kepada ahli yang layak.

Beliau berkata, semua dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

"Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana.

"Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Rohaya, skim ini membolehkan ahli untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 KWSP mereka ke dalam dana unit amanah yang layak ditawarkan untuk pelaburan sama ada di pasaran tempatan atau global bagi memberi peluang kepada ahli meningkatkan simpanan persaraan mereka.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN