fb fb fb fb fb

Santan rancang perluas jenama di rantau Asean

Foto RTM

SEPANG, 4 Julai - Cabang perniagaan makanan dan minuman di bawah Capital A Bhd, Santan berhasrat untuk memperluaskan jenamanya di rantau Asean.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Catherine Goh, syarikat menyasarkan untuk menembusi pasaran Indonesia dan Filipina, seawal tahun hadapan.

Jelasnya, kedua-dua negara itu mempunyai potensi pasaran yang kukuh selain didorong permintaan yang meningkat bagi produk sedia untuk dimakan (RTE).

''Tahun lalu sahaja, kami menjual lebih daripada setengah juta hidangan RTE di restoran, kedai serbaneka dan rangkaian runcit.

''Ini membuktikan bahawa pelanggan menyukai hidangan Santan sama ada mereka menaiki penerbangan atau tidak,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan cawangan Santan@Food District di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Tahun ini, syarikat tersebut komited untuk merekodkan jualan sehingga 700,000 unit RTE, sebagai usaha mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran RTE yang pesat berkembang.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI