fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini di tengah-tengah kebimbangan kekurangan getah asli berikutan ramalan cuaca buruk di negara pengeluar utama, dengan kenaikan dihadkan oleh kemerosotan harga minyak dan ketidaktentuan perdagangan global, kata seorang peniaga.

Peniaga berkata Thailand, pengeluar getah utama dunia telah diberi amaran oleh agensi meteorologi negara itu mengenai hujan lebat dan kemungkinan banjir kilat bermula 3 hingga 6 Julai.

“Jumlah hujan terkumpul menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan di kawasan utama penanaman getah,” katanya kepada Bernama.

Peniaga itu berkata sentimen pasaran turut disokong oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif.

“AS mencatatkan pertumbuhan pekerjaan yang kukuh bulan lepas, dengan senarai gaji bukan ladang meningkat sebanyak 147,000 pada Jun susulan peningkatan semakan menaik sebanyak 144,000 pada Mei, menurut Biro Statistik Buruh Jabatan Buruh AS,” katanya.

Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penyusutan harga minyak mentah di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global apabila tarikh akhir perjanjian perdagangan AS dengan rakan dagangannya di seluruh dunia semakin hampir.

“Harga minyak merosot sedikit dalam dagangan Asia pada Jumaat apabila tumpuan kekal pada mesyuarat OPEC+ yang akan datang bagi petunjuk pengeluaran, manakala penurunan selanjutnya dihadkan oleh sekatan tambahan AS ke atas Iran,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan bahawa harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) menaik sebanyak 6.5 sen kepada 711.00 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 4.5 sen kepada 571.50 sen sekilogram. -BERNAMA

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN