fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup tinggi berbanding Dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Februari- Ringgit tinggi semasa mengakhiri minggu ini berbanding dolar AS hari ini walaupun daya tahan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu kekal kukuh dalam persekitaran harapan pudar untuk penurunan kadar AS yang awal dan data ekonomi AS yang kukuh, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7595/7705 berbanding dolar AS daripada 4.7705/7745 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan kebanyakannya tinggi berbanding dolar AS sebanyak 0.14 peratus hari ini sejajar dengan mata wang serantau lain yang lebih baik seperti rupiah Indonesia, dolar Singapura dan peso Filipina.

“Bagaimanapun, isu mengenai tempoh untuk penurunan kadar AS dan jangkaan rangsangan ekonomi China terus memacu sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun terdapat daya tahan yang berterusan dalam petunjuk makroekonomi AS, termasuk penurunan tuntutan pengangguran awal yang lebih besar daripada jangkaan dan peningkatan hasil 10 tahun AS kepada 4.15 peratus, ringgit mengukuh hari ini.

“Pengukuhan (ringgit) ini disebabkan permintaan sempena cuti Tahun Baharu Cina, menunjukkan langkah terkini dalam mata wang melepasi sasaran, kemungkinan dipengaruhi oleh bacaan data Indeks Harga Pengguna China yang lemah,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1849/1925 daripada 3.2068/2100 pada Khamis, naik berbanding pound kepada 6.0017/0156 daripada 6.0251/0302 sebelum ini dan tinggi berbanding euro kepada 5.1241/1359 daripada 5.1445/1488.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5342/5429 daripada 3.5471/5506 pada Khamis dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 304.3/305.2 daripada 305.0/305.5 semalam.

Ia naik berbanding peso Filipina kepada 8.51/8.55 daripada 8.53/8.54 dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.2540/2902 daripada 13.3191/3362 sebelum ini.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN