KUALA LUMPUR, 6 November – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), mencerminkan keyakinan terhadap ketahanan ekonomi serta kestabilan harga semasa.
BNM dalam kenyataannya memaklumkan, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan berterusan dalam pertumbuhan global, meskipun kesan tarif yang lebih tinggi dijangka terus memberi tekanan terhadap ekonomi dunia.
Namun, prospek pertumbuhan global masih disokong oleh pasaran pekerjaan yang kukuh, inflasi yang menurun, serta dasar monetari dan fiskal yang semakin menyokong pertumbuhan.
Penyelesaian lebih banyak rundingan perdagangan turut membantu mengurangkan ketidakpastian global, walaupun risiko terhadap pertumbuhan kekal wujud akibat tarif khusus produk dan ketegangan geopolitik yang meningkat.
Bank Negara Malaysia/Foto hiasan/RTM
Bagi ekonomi Malaysia, BNM menjelaskan pertumbuhan suku ketiga tahun ini melebihi jangkaan, disokong oleh permintaan domestik kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan, pemulihan sektor komoditi, serta guna tenaga dan pendapatan isi rumah yang stabil.
Aktiviti pelaburan juga dijangka terus berkembang, dipacu oleh projek berbilang tahun, pelaburan diluluskan, serta inisiatif strategik di bawah pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
BNM turut menjangka bahawa Belanjawan 2026 akan terus menyokong pertumbuhan, namun prospek ekonomi kekal terdedah kepada risiko global seperti kelembapan perdagangan antarabangsa dan pengeluaran komoditi yang rendah.
Inflasi keseluruhan dan teras masing-masing berpurata 1.4 peratus dan 1.9 peratus, dengan kadar dijangka kekal sederhana pada 2026, disokong oleh kos global serta harga komoditi yang stabil.
MPC menegaskan pendirian dasar monetari semasa adalah wajar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam keadaan harga yang stabil, sambil terus memantau risiko terhadap pertumbuhan dan inflasi.