fb fb fb fb fb

IHPRP Malaysia naik 1.0 peratus pada suku ketiga 2025

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat 1.0 peratus pada suku ketiga 2025/Foto arkib/BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 November – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat 1.0 peratus pada suku ketiga 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama bagi dua suku tahun berturut-turut, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tersebut disumbang terutamanya oleh indeks penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman yang naik 3.4 peratus.

Kenaikan itu didorong oleh aktiviti restoran dan makanan bergerak (4.0%) serta perkhidmatan minuman (3.0%).

Selain itu, beberapa indeks lain turut mencatat peningkatan, antaranya pendidikan (1.4%), kesihatan (0.7%), profesional (0.6%), pengangkutan dan aktiviti hartanah (masing-masing 0.5%).

Bagaimanapun, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi hanya meningkat 0.4 peratus, jauh lebih rendah berbanding 4.5 peratus pada suku sebelumnya.

Sebaliknya, indeks maklumat dan komunikasi mencatatkan penurunan sederhana 0.1 peratus, dipengaruhi oleh aktiviti telekomunikasi tanpa wayar serta pengaturcaraan komputer dan perundingan.

Pada asas suku tahunan, IHPRP meningkat 0.1 peratus berbanding 0.3 peratus pada suku sebelumnya, dengan sumbangan utama daripada sektor makanan dan minuman, pengangkutan serta pendidikan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN