KUALA LUMPUR, 22 Julai- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan mata wang ASEAN, didorong oleh sentimen positif menjelang pengumuman mengenai kadar inflasi Malaysia bagi bulan Jun pada Rabu.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6815/6910 berbanding dolar AS daripada 4.6840/6875 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur menunggu data Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk menilai impak daripada rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan bermula 10 Jun lepas.
Konsensus menganggarkan kadar inflasi berada pada 2.2 peratus, lebih tinggi daripada 2.0 peratus pada Mei.
“Kami berpendapat impaknya dijangka minimum berdasarkan peratusan diesel dalam kumpulan IHP yang hanya 0.2 peratus. Apa yang lebih penting ialah bagaimana trajektori inflasi domestik akan membentuk keputusan dasar monetari.
“Setakat ini, Bank Negara Malaysia jelas dalam pendirian mereka mengenai inflasi apabila keseimbangan risiko cenderung ke arah peningkatan,” katanya kepada Bernama.
Ini akan menjadi positif untuk ringgit berikutan perbezaan kadar faedah dengan negara-negara maju, terutamanya Amerika Syarikat, akan berkurangan pada separuh kedua 2024.
Sementara itu, mata wang tempatan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali berbanding yen Jepun apabila ia mengukuh kepada 2.9739/9803 daripada 2.9760/9786 pada Jumaat lepas.
Ia merosot berbanding pound kepada 6.0541/0664 daripada 6.0452/0497 minggu lepas dan berkurangan berbanding euro kepada 5.1024/1127 daripada 5.0957/0995 sebelum ini.
Sebaliknya, ringgit naik berbanding mata wang ASEAN, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4827/4901 daripada 3.4833/4862 pada Jumaat lepas dan menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 289.0/289.8 daripada 289.2/289.6 minggu lepas.
Ia turut meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8821/9157 daripada 12.9075/9221 pada Jumaat lepas dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.02/8.024 daripada 8.03/8.04 sebelum ini.- BERNAMA