BAYAN LEPAS, 1 Februari- Proton Holdings Bhd (Proton) menggalakkan pengedarnya menaik taraf pusat operasi mereka daripada 1S (pusat jualan) , dan 2S (pusat servis dan alat ganti) kepada 3S atau 4S yang menawarkan khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata berdasarkan perancangan tahun ini, sekurang-kurangnya lima buah pusat operasi akan dinaik taraf kepada 3S dan 4S bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
Katanya pengedar juga bersedia menaik taraf pusat operasi masing-masing bagi menawarkan jualan, servis dan alat ganti untuk pelanggan selain perkhidmatan ketuk dan cat di bawah satu bumbung.
"Ketika ini Proton ada 43 pusat 1S dan 78 pusat 2S. Oleh itu kita mengalakkan pengedar untuk menaik taraf pusat operasi tersebut kepada 3S dan 4S, tetapi terdapat beberapa kekangan dalam kalangan mereka yang membabitkan lokasi.
"Namun kami menjangkakan lebih banyak pusat 1S dan 2S akan dinaik taraf dalam bebebrapa tahun akan datang kerana sebenarnya menerusi pusat operasi yang dinaik taraf itu, kami yakin dapat menyediakan ruang servis dan jualan yang lebih baik kepada pelanggan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu Roslan mengetuai Proton menganjurkan lawatan media untuk memperkenalkan inisiatif Kecemerlangan Operasi Proton (POE), di salah satu pengedar rasminya, Vivahill Motor Service Sdn Bhd di Bayan Lepas dekat sini.
Dalam pada itu, Roslan berkata lima pusat operasi yang akan dinaik taraf dan telah dikenal pasti lokasinya membabitkan Banting di Selangor yang dijangka siap hujung bulan ini, Batu Kawan di Pulau Pinang dan Jerantut di Pahang.
Sementara dua lagi di Kuching, Sarawak dan Kuala Nerus di Terengganu yang mana setiap pusat operasi yang dinaik taraf melibatkan perbelanjaan antara RM7 juta hingga RM20 juta mengikut keluasan dan lokasinya, kata beliau.