KUALA LUMPUR, 14 April - Prospek yang lebih baik untuk Bursa Malaysia tahun ini akan memupuk persekitaran lebih kondusif untuk tawaran awam permulaan (IPO).
Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan, Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata indeks barometer dijangka menunjukkan prestasi positif tahun ini.
Beliau berkata pasaran saham di Malaysia menunjukkan trajektori positif pada suku pertama 2024.
Faktor utama lain yang mendorong pertumbuhan itu katanya termasuk penilaian yang menarik, hasil dividen tinggi dan penyusutan nilai ringgit yang menarik pelaburan tambahan.
Meskipun pasaran menyederhana pada suku pertama, Sedek berkata Malaysia dan Indonesia kekal sebagai destinasi utama bagi penerbit IPO di rantau ini.
Katanya, langkah mempercepatkan sehingga tiga bulan bagi permohonan baharu mulai 1 Mac bagi pasaran utama dan ACE juga dilihat memberi kesan positif pelbagai bidang.