KUALA LUMPUR, 5 Februari - Proton Holdings Bhd mencatatkan jualan 12, 882 unit kenderaan pada Januari 2024.
Prestasi kukuh itu merupakan peningkatan jualan domestik yang terbaik sejak 2013 apabila merekodkan peningkatan jualan domestik dan eksport.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata, PROTON satu-satunya jenama automotif yang mencatat prestasi jualan lebih baik berbanding Disember 2023, dengan peningkatan 1.3 peratus.
Katanya, berbanding pada Januari 2023, jualan meningkat sebanyak 10.3 peratus.
"Hasil daripada permulaan tahun yang kukuh, PROTON mengekalkan tempat kedua dalam jadual jualan dengan selesa.
"Pegangan pasaran bagi Januari dianggarkan sebanyak 19.5 peratus, iaitu 3.3 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Roslan berkata jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan sebanyak 66,134 unit, yang bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6 peratus berbanding Disember.
"Yang mana jumlah itu meningkat akibat dorongan jualan kenderaan akhir tahun yang lebih tinggi untuk penutupan 2023.
"Pada masa ini, ramai yang menganggarkan bahawa jualan automotif Malaysia akan menurun pada 2024 selepas mencatat rekod pada 2023. Ini disebabkan faktor seperti kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pengenalan Cukai Barangan Mewah.
"Walau bagaimanapun, PROTON kekal optimistik dengan permulaan yang kukuh kami untuk tahun ini akan menetapkan nada untuk 11 bulan yang akan datang kerana menyasarkan lebih banyak pertumbuhan jualan dengan fokus berterusan pada inovasi, kualiti serta khidmat pelanggan," katanya.
Permulaan yang kukuh akan menetapkan momentum untuk 11 bulan akan datang berikutan jenama itu menyasarkan pertumbuhan jualan lebih tinggi dengan fokus berterusan pada inovasi, kualiti dan khidmat pelanggan.
Proton melaporkan Proton Saga bermula kukuh pada 2024 dengan 6,129 unit dijual, membuktikan populariti dan kepentingannya dalam portfolio Proton.
Bagi model PROTON yang lain, jualan untuk Iriz melonjak sebanyak tujuh peratus berbanding Disember dengan 523 unit dijual manakala 372 unit X70 telah dijual bulan lalu.