KUALA LUMPUR, 13 Julai - Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus Bank Negara Malaysia (BNM) berpotensi menggalakkan pembelian aset hartanah serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, individu dan syarikat kini boleh mengambil peluang untuk mendapatkan pinjaman pada kos lebih rendah, termasuk bagi pinjaman sedia ada mungkin disemak semula.
"Antara kesan positif yang boleh dijangkakan ialah peningkatan kecairan dalam pasaran. Ini bermaksud lebih ramai berpeluang mendapatkan pembiayaan dengan kadar faedah yang lebih rendah.
"Ini sekali gus menggalakkan aktiviti ekonomi seperti pembelian hartanah, pengembangan perniagaan serta pertukaran barangan dan perkhidmatan," katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, sektor perniagaan turut dijangka meraih manfaat secara langsung, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin memperluaskan operasi.
Peningkatan dalam permohonan pinjaman dan perbelanjaan pengguna mampu merangsang permintaan domestik, sekali gus menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini.
Dr Ahmed Razman menyifatkan langkah penurunan OPR ini sebagai satu bentuk rangsangan dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global.
Mengulas lanjut tentang ringgit, beliau menjelaskan kesan penurunan OPR terhadap nilai ringgit mungkin tidak begitu ketara dan tidak semestinya memberi impak positif.
Ini kerana, nilai ringgit dipengaruhi faktor luaran seperti pergerakan dolar Amerika Syarikat serta sentimen pasaran global yang berada di luar kawalan dasar domestik.
Terdahulu, Bank Negara Malaysia mengumumkan penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.
Ini merupakan kali pertama bank pusat melaras semula kadar dasar itu selepas mengekalkannya sebanyak 12 kali berturut-turut sejak Mei 2023.