KUALA LUMPUR, 13 Julai- Langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 25 peratus ke atas produk Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos ini, dijangka tidak memberi kesan besar terhadap daya saing eksport negara.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata tarif tersebut sebenarnya ditanggung oleh pembeli di Amerika Syarikat (AS) dan bukan pengeluar atau pengeksport di Malaysia.
Justeru, kesannya lebih tertumpu kepada penurunan permintaan akibat kenaikan harga.
Bagi memastikan Malaysia kekal bersedia menghadapi situasi tersebut, beliau mencadangkan agar negara memperkukuh daya tarikan pelaburan berkualiti tinggi seperti pusat data dan industri berasaskan teknologi.
"Pelaburan asing langsung (FDI) terbesar di Malaysia kini banyak disumbangkan oleh syarikat-syarikat multinasional dari Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam sektor perkhidmatan seperti pembinaan pusat data, menyambut peluang insentif yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia.
Sektor perkhidmatan tidak tertakluk kepada tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Trump sebelum ini, menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang lebih kompetitif dan strategik bagi pelabur Amerika.
Justeru, Malaysia perlu terus merangka dan menyusun strategi yang proaktif bagi menarik lebih banyak pelaburan dari Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor yang tidak terkesan oleh dasar perlindungan perdagangan tersebut," kata Profesor Madya Dr. Aimi kepada pemberita RTM secara eksklusif, hari ini.
Selain itu, strategi eksport semula barangan separa siap dari AS untuk diproses di Malaysia sebelum dieksport kembali ke pasaran tersebut, turut dilihat sebagai satu kaedah untuk mengurangkan kesan langsung tarif.
Pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat mengurangkan kesan langsung tarif, malah membantu mengekalkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam industri semikonduktor dan pembuatan berteknologi tinggi.
Tambahnya, penyusutan nilai dolar AS serta tekanan inflasi dalam negara itu turut memberi ruang kepada Malaysia untuk mempercepatkan usaha ketidakbergantungan kepada mata wang itu dalam perdagangan antarabangsa.