fb fb fb fb fb

Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Korea, perkukuh akses pasaran

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Korea Selatan (MKFTA) yang telah dimuktamadkan dijangka bakal menjamin akses bebas duti jangka panjang kepada pelbagai produk eksport strategik Malaysia.

Menerusi perjanjian itu, ia membolehkan produk makanan dan hasil pertanian, produk herba, dan komoditi menikmati perdagangan yang lebih meluas.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perjanjian itu adalah langkah tepat untuk memperkukuh hubungan perdagangan sedia ada.

"Kami melihat banyak peluang untuk memperkukuh kerjasama dengan Korea dalam bidang pembangunan industri, perdagangan dan pelaburan.

"Saya juga gembira untuk berkongsi bahawa kami akan meneroka sektor lain seperti ekonomi hijau, digital dan bioekonomi, yang akan menambah nilai kepada FTA ini untuk pelbagai pihak berkepentingan." katanya dalam satu kenyataan bersama Korea Selatan (ROK) di sini, hari ini.

MKFTA itu merangkumi pelbagai bidang termasuk barangan, perkhidmatan, pelaburan, pemudahan kastam, langkah sanitari dan fitosanitari, perdagangan digital, ekonomi hijau, bioekonomi serta kerjasama ekonomi.

Ia turut dijangka memberi manfaat kepada aspek utama negara termasuk kerjasama ekonomi dan pembinaan keupayaan.

MKFTA itu merupakan FTA ke-19 dimeterai Malaysia sekaligus menegaskan komitmen terhadap sistem perdagangan multilateral berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya.

Dalam masa sama, kedua-dua negara turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Strategik dalam Rantaian Bekalan, yang mengiktiraf kepentingan memperkukuh kerjasama dalam keselamatan ekonomi, termasuk dalam aspek ketahanan rantaian bekalan.

Ia sekaligus memperkukuh perkongsian strategik dua hala melalui kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih rapat, ke arah mewujudkan hubungan yang dinamik dan saling menguntungkan.

Korea Selatan kekal sebagai antara sepuluh rakan dagang utama Malaysia, dengan jumlah perdagangan mencecah sebanyak USD24.01 bilion tahun lalu.

Trainee