fb fb fb fb fb

Upah bulanan pekerja Malaysia naik 4.3%, cecah RM2,864 - DOSM

Gambar hiasan/BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Oktober - Pendapatan pekerja formal di Malaysia terus menunjukkan peningkatan apabila median upah bulanan naik 4.3 peratus kepada RM2,864 pada Jun 2025, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perkembangan itu didedahkan dalam Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Kedua 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara kekal kukuh, disokong pertambahan bilangan pekerja formal warganegara yang meningkat 3.5 peratus kepada 6.97 juta orang.

“Median upah bulanan mencatat pertumbuhan positif pada setiap bulan sepanjang suku kedua 2025 iaitu 3.6
peratus pada April, 5.4 peratus pada Mei dan 4.3 peratus pada Jun,” katanya dalam satu kenyataan.

Dari segi jantina, pekerja lelaki menerima median upah RM2,900, manakala pekerja perempuan RM2,800.

Sementara itu, pekerja bawah 20 tahun merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 13.3 peratus dengan median
upah RM1,700, namun kumpulan umur 45 hingga 49 tahun kekal sebagai penerima upah tertinggi pada RM3,800.

Mengikut sektor, perlombongan dan pengkuarian mencatat pertumbuhan tertinggi 10.2 peratus kepada RM6,500, diikuti sektor lain yang turut menunjukkan prestasi positif.

Sektor pertanian pula kekal terendah walaupun meningkat 10 peratus kepada RM2,200.

Dari segi geografi, Kuala Lumpur terus merekodkan median upah tertinggi RM4,064, diikuti Selangor (RM3,145) dan Pulau Pinang (RM2,927).

Kelantan kekal terendah dengan RM1,764, diikuti Perlis (RM1,800) serta Sabah dan Kedah, masing-masing
RM2,000.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ