fb fb fb fb fb

Pengukuhan kerangka undang-undang kewangan korporat tingkatkan keyakinan pelabur

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 September - Pengukuhan kerangka undang-undang kewangan korporat amat penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur, menggalakkan inovasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kewangan korporat bukan sekadar aspek teknikal, sebaliknya merupakan tiang utama daya tahan ekonomi negara, termasuk ketika Malaysia berdepan Krisis Kewangan Asia 1997 dan pandemik COVID-19.

“Undang-undang kewangan korporat yang kukuh membolehkan syarikat mengakses pasaran modal, mengurus aset dengan bertanggungjawab serta membuat keputusan pelaburan yang bijak untuk menyokong pertumbuhan mampan.

"Usaha ini, digabungkan dengan pembaharuan bagi memperkukuh pemantauan, mengurangkan risiko pematuhan dan menguatkuasakan peraturan, telah meningkatkan keyakinan pelabur, seperti yang dapat dilihat melalui peningkatan berterusan pelaburan asing dan domestik,” katanya ketika berucap pada pelancaran buku Corporate Finance Law in Malaysia di Auditorium Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan pasaran modal Malaysia kini mencecah RM4.2 trilion pada tahun 2024, dengan 41 tawaran awam permulaan (IPO) sehingga September 2025, sekali gus mengekalkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekosistem pengumpulan dana awam.

Pengukuhan undang-undang kewangan korporat ini sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya dalam memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan integriti.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN