KUALA LUMPUR, 30 September – Platform digital Sistem Pengurusan Rantaian Bekalan Pintar (SCIMS) yang dijadualkan dilancarkan pada Disember tahun ini dijangka memperkukuh kesiapsiagaan industri negara dalam menghadapi cabaran global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sistem pengurusan rantaian bekalan nasional itu akan memetakan sektor-sektor utama negara serta mengenal pasti jurang bagi memastikan rantaian bekalan lebih berdaya tahan.
“Dari segi penambahbaikan, pertama sekali ialah keterlihatan. Hari ini, banyak rantaian bekalan apabila dipetakan masih tidak lengkap. Dengan sistem ini dan penyertaan semua syarikat berkaitan, ia akan lebih menyeluruh serta membantu dari segi keterlihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Jalinan Perniagaan & Hari Terbuka Syarikat Anchor MBSB, hari ini.
Tambah beliau, SCIMS juga akan menjadi rujukan penting kepada syarikat teras dan vendor untuk mengenal pasti keperluan sebenar rantaian, selain membolehkan negara menutup jurang bekalan dan mengurangkan kebergantungan import.
“Ia turut membantu Malaysia merancang ketika berdepan kecemasan seperti COVID-19 atau isu tarif. Dengan pemetaan ini, kita dapat mengenal pasti jurang dan mengukuhkan lagi kedudukan negara untuk mengetahui di mana wujudnya jurang, selain membina ekosistem yang kukuh,” jelasnya.
Menerusi SCIMS, lapan sektor utama yang terlibat termasuk farmaseutikal, peranti perubatan, peralatan perlindungan diri, elektrik dan elektronik (E&E), automotif serta makanan dan minuman yang merangkumi ternakan, akuakultur dan pertanian.
Dalam pada itu, Zafrul berkata peruntukan berjumlah RM100 bilion menerusi Pemecut Akses Pasaran Global (GLOMAX) di bawah Kewangan Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDF) akan mempersiapkan sekurang-kurangnya 50 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat bersaiz pertengahan (MTC) untuk menembusi pasaran antarabangsa dalam tempoh dua tahun.
Katanya, dengan tumpuan kepada kesiapsiagaan kewangan PKS, syarikat tempatan akan lebih bersedia untuk berkembang ke luar negara secara mampan dan berdaya saing.
Menurut beliau, usaha mempelbagaikan sumber bekalan, memperkukuh integrasi serantau serta pelaburan dalam logistik pintar dan kelestarian juga akan memberi kelebihan kepada PKS untuk terus berkembang.
Langkah itu, jelasnya, dapat memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas sedia ada, sekali gus mengurangkan risiko dan meluaskan pasaran global.