KUALA LUMPUR, 30 September – Belanjawan 2026 akan merangkumi elemen utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menggariskan keutamaan negara, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut beliau, belanjawan yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober ini merupakan belanjawan pertama di bawah RMK13 dan selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.
“RMK13 memberikan hala tuju yang jelas, menunjukkan keutamaan negara dan bidang yang perlu direformasikan, termasuk sektor perumahan, pendidikan dan kesihatan. Terdapat banyak lagi agenda yang sedang dilaksanakan, dan Belanjawan 2026 akan memasukkan elemen-elemen ini bagi membantu pergerakan pembangunan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, di sini hari ini.
Belanjawan 2026 dijangka menumpukan reformasi utama dalam bidang perumahan, pendidikan dan kesihatan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan RMK13.