fb fb fb fb fb

Inflasi Ogos naik 1.3 peratus, ringgit dan FBM KLCI catat pengukuhan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 30 September- Inflasi keseluruhan negara meningkat kepada 1.3 peratus pada Ogos 2025 berbanding 1.2 peratus pada Julai, dengan kenaikan lebih tinggi dalam inflasi teras kepada 2 peratus berbanding Julai, 1.8 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan berkata peningkatan inflasi teras didorong terutamanya oleh harga lebih tinggi bagi perkhidmatan penstriman, bekalan air serta barangan kemas dan jam tangan manakala beberapa barangan bukan teras seperti ikan segar turut mencatatkan kenaikan.

Pada masa yang sama, Indeks Harga Pengguna elektrik mencatatkan penurunan selanjutnya, mencerminkan kesan berterusan penstrukturan semula tarif yang dilaksanakan pada bulan Julai.

"Indeks pengeluaran industri perkilangan bertambah kukuh kepada 4.4 peratus pada Julai, disokong oleh subsektor elektrik dan elektronik serta jentera dan peralatan.

Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang 5.6 peratus, dengan pinjaman perniagaan meningkat kepada 5.2 peratus dan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.9 peratus," kata kenyataan itu.

Ringgit menokok 0.9 peratus berbanding dolar AS seiring mata wang serantau manakala FBM KLCI melonjak 4.1 peratus disokong keuntungan korporat yang kukuh.

Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sistem perbankan berada pada 146.8 peratus dengan nisbah pinjaman kepada dana stabil pada 83 peratus.

Sementara itu, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih kekal masing-masing pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus manakala perlindungan kerugian pinjaman berada pada 128 peratus.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM