fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup rendah

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 26 Februari- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah sedikit hari ini seiring dengan penurunan di pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, niaga hadapan getah Jepun susut pada Isnin, apabila peningkatan inventori dan pengukuhan yen menjejaskan sentimen pasaran.

Penanda aras minyak mentah Brent bagi penghantaran Mac turun 0.54 peratus, diniagakan pada AS$81.19 setong.

Bagaimanapun, seorang peniaga lain berkata, penurunan seterusnya dihadkan oleh kebimbangan yang tercetus semula berhubung kekurangan bekalan getah asli global dan keyakinan terhadap langkah-langkah rangsangan ekonomi dari China.

“Peserta pasaran dijangka memantau pengumuman data ekonomi penting pada minggu ini, terutamanya inflasi Amerika Syarikat bagi mencari petunjuk seterusnya prospek kadar faedah global,” katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot tiga sen kepada 756.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 0.5 sen kepada 695 sen sekilogram.

Sementara itu, pada pukul 5.00 petang, harga rujukan LGM bagi getah SMR 20 berada pada 756 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 698 sen sekilogram. -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA