fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini di tengah-tengah penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau.

Seorang peniaga berkata prestasi pasaran itu juga dipengaruhi oleh prospek ekonomi global apabila Bank Dunia mengunjurkan ekonomi dunia berkembang pada kadar sederhana 2.4 peratus tahun ini.

Dilaporkan bahawa ekonomi maju dijangka mencatatkan pertumbuhan kira-kira 1.2 peratus, manakala pasaran sedang pesat membangun diunjur mengalami kadar pertumbuhan di bawah empat peratus.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh kenaikan harga minyak mentah dan penurunan nilai ringgit berbanding Dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Pada 5.00 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.6445/6485 berbanding Dolar AS daripada paras penutup 4.6405/6445 pada Selasa, manakala penanda aras minyak mentah Brent meningkat 0.06 peratus kepada US$77.64 setong.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun 1.5 sen kepada 689.5 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 1.5 sen kepada 559.5 sen sekilogram.

Pada 5.00 petang, harga rujukan bagi SMR 20 fizikal berada pada 688.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 561.5 sen sekilogram.-BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN