fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Mac- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, dan dipengaruhi oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.

Peniaga itu berkata penurunan pasaran dikekang oleh kenaikan harga minyak mentah dan data jualan kereta China yang menggalakkan.

Menurutnya, niaga hadapan getah Jepun meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun pada Selasa, meneruskan kenaikan bagi hari keenam berturut-turut, apabila data ekonomi tempatan yang kukuh meningkatkan keyakinan terhadap pertumbuhan permintaan manakala harga minyak yang lebih tinggi juga mendorong pembelian baharu.

Menurut Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM), jualan kereta China naik 11.1 peratus kepada hampir 4.03 juta unit dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, manakala pengeluaran kereta negara itu bagi tempoh yang sama meningkat 8.1 peratus kepada 3.92 juta unit.

“Selain itu, sentimen tersebut turut disokong oleh laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mengenai bekalan getah asli yang semakin berkurang,” katanya.

Sementara itu, DoSM berkata pengeluaran getah asli susut 0.2 peratus kepada 30,273 tan pada Januari 2024 berbanding 30,342 tan pada Disember 2023, manakala perbandingan tahun ke tahun, bagaimanapun, menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 2.8 peratus daripada 29,451 tan pada Januari 2023.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun satu sen kepada 752.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal menambah 2.5 sen kepada 731.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 752.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 732.5 sen sekilogram.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN