fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 9 November- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Khamis, walaupun pasaran niaga hadapan getah serantau mengalami prestasi lemah, kata peniaga.

Harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 naik sedikit disokong oleh ringgit yang lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta harga minyak mentah penanda aras yang mencatatkan aliran meningkat.

“Pengendali pasaran juga didapati meneliti laporan getah asli terkini dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya.

Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 4.7 peratus kepada 32,773 tan pada September 2023 daripada 31,309 tan yang dicatatkan pada Ogos 2023, menurut DOSM.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli susut 7.6 peratus daripada 35,460 tan yang direkodkan pada September 2022.

Pada tengah hari, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk GMM 20 meningkat 0.5 sen kepada 683.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut satu sen kepada 551.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal LGM untuk GMM 20 adalah 687.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 550.0 sen sekilogram.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE