fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) hari ini ditutup tinggi, dengan kontrak penanda aras melebihi RM3,760 setan bagi Januari, meningkat 2.17 peratus berikutan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh menyokong sentimen dalam pasaran minyak sawit.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga yang melemah baru-baru ini turut menarik minat belian.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM3,650 setan dan paras rintangan pada RM3,820 setan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, niaga hadapan MSM dilihat lebih tinggi hari ini berikutan momentum kenaikan harga semalaman dan pada waktu Asia di niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Beliau berkata, pemulihan di niaga hadapan minyak sayuran China turut mendorong kenaikan harga komoditi.

Pada penutup dagangan, kontrak November 2023 meningkat RM65 kepada RM3,671 setan, Disember 2023 naik RM76 kepada RM3,731 setan, Januari 2024 bertambah RM83 kepada RM3,762 setan, Februari 2024 naik RM82 kepada RM3,784 setan, Mac 2024 melonjak RM77 kepada RM3,794 setan, dan April 2024 meningkat RM73 kepada RM3,788 setan.

Jumlah dagangan merosot kepada 66,541 lot daripada 68,742 pada Rabu, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 215,447 kontrak daripada 211,404 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan naik RM40 kepada RM3,690 setan.-- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN