KUALA LUMPUR, 30 Januari- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada hari kedua berturut-turut hari ini, namun harga komoditi itu kekal tinggi, kata peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh.
Menurutnya harga komoditi itu kekal tinggi dan dijangka mencapai harga antara RM3,600 satu tan dan RM3,700 satu tan di tengah-tengah spekulasi pasaran.
“Bagaimanapun, stok MSM di Malaysia dan Indonesia adalah tinggi. Di China, republik itu telah menambah stok menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, kontrak niaga hadapan MSM bagi bulan semerta Februari 2024 susut RM83 kepada RM3,868 satu tan, Mac 2024 berkurangan RM104 kepada RM3,855 satu tan dan April 2024 merosot RM106 kepada RM3,842 satu tan.
Kontrak Mei 2024 berkurangan RM102 kepada RM3,803 satu tan, Jun 2024 susut RM92 kepada RM3,752 satu tan dan Julai 2024 menyusut RM79 kepada RM3,707 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 93,733 lot daripada 62,037 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 213,781 kontrak daripada 214,979 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan turun RM80 kepada RM3,900 satu tan.- BERNAMA