fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Januari- Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pada Rabu selepas ditutup rendah semalam, didorong belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih berikutan sedikit sentimen lemah dalam pasaran serantau, kata peniaga.

Pada  pukul 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.31 mata kepada 1,514.06 daripada 1,512.75 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks barometer dibuka 0.15 mata lebih rendah kepada 1,512.60.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 216 berbanding 192, manakala 289 kaunter tidak berubah, 1,565 kaunter tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 427.43 juta unit bernilai RM131.76 juta.

Menurut Malacca Securities pihaknya menjangkakan aktiviti pengambilan untung berterusan di pasaran tempatan hari ini dengan perkembangan berkaitan Evergrande.

Keseluruhan pasaran mungkin mengalami tidak banyak perubahan dengan FBM Small Cap rendah buat masa ini, tambahnya.

Firma pembrokeran itu menambah di pasaran komoditi, minyak mentah Brent didagangkan lebih kukuh melebihi US$82 setong selepas AS mencatatkan data pekerjaan kukuh, menunjukkan aktiviti ekonomi AS terus berkembang, ditambah dengan ketegangan Timur Tengah yang berterusan.

“Oleh itu, kami yakin sektor minyak dan gas mungkin mengekalkan momentum meningkatnya.

“Selain itu, akan ada lonjakan minat dagangan terhadap kalangan peserta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar susulan pengumuman mengenai Solar Skala Besar 5 (LSS5) baru-baru ini,” jelasnya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut 2.0 sen kepada RM9.22, Petronas Chemicals turun 1.0 sen kepada RM6.82 manakala Public Bank, CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing naik 2.0 sen kepada RM4.42, RM6.24 dan RM10.50.

Bagi saham aktif, TWL Holdings tidak berubah pada 4.0 sen, Sapura Energy susut setengah sen kepada 4.5 sen, Reneuco turun 4.5 sen kepada 11 sen manakala PUC meningkat 1.0 sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.14 mata kepada 11,263.98, Indeks FBMT 100 meningkat 5.77 mata kepada 10,922.63 manakala Indeks FBM 70 susut 6.93 mata kepada 15,257.81.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 12.27 mata kepada 11,293.12 dan Indeks FBM ACE menambah 12.13 mata kepada 4,797.43.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah susut 1.48 mata kepada 924.61, Indeks Perladangan meningkat 34.59 mata kepada 7,242.96 dan Indeks Tenaga naik 6.84 mata kepada 886.02.

Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 13.63 mata kepada 16,964.30 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.02 mata kepada 174.04. -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA