fb fb fb fb fb

MITI kenakan syarat permit pada cip AI berprestasi tinggi

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Semua aktiviti eksport, pemindahan dan transit cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi dari Amerika Syarikat kini tertakluk kepada Permit Perdagangan Strategik, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), langkah terbaharu ini dilaksanakan di bawah Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010) melalui peruntukan Kawalan Keseluruhan.

“Peruntukan ini mewajibkan pemakluman kepada pihak berkuasa dalam tempoh 30 hari sebelum penghantaran barangan yang tidak tersenarai dalam Senarai Barangan Strategik (SIL), sekiranya wujud syak wasangka munasabah bahawa barangan tersebut berpotensi disalahgunakan atau digunakan dalam aktiviti terhad,” jelas MITI.

Langkah ini juga bertujuan untuk merapatkan jurang kawal selia sementara kajian lanjut dijalankan terhadap kemasukan cip AI berprestasi tinggi dari AS ke dalam SIL di bawah STA 2010.

MITI menegaskan bahawa Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap sebarang percubaan untuk memintas kawalan eksport atau terlibat dalam aktiviti perdagangan haram.

“Mana-mana individu atau syarikat yang melanggar STA 2010 atau mana-mana undang-undang berkaitan akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas,” tambah kenyataan itu.

MITI turut menyatakan komitmennya untuk mengekalkan persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berasaskan peraturan, serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang penyalahgunaan bidang kuasa untuk tujuan perdagangan haram.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI