fb fb fb fb fb

Bursa dibuka hampir mendatar tetapi meningkat semula kemudiannya

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah pada Isnin, seiring dengan prestasi Wall Street yang kurang menggalakkan pada Jumaat lepas berikutan dasar perdagangan perlindungan Amerika Syarikat (AS) baharu yang terus mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Bagaimanapun, ia diniagakan tinggi kemudiannya.

Pada 10.18 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.95 mata kepada 1,537.02 daripada 1,536.07 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 0.10 mata kepada 1,535.97.

Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 335 berbanding 303 manakala 419 kaunter tidak berubah, 1,352 tidak diniagakan dan dua yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.11 bilion saham bernilai RM391.41 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd pasaran saham tempatan mungkin memulakan dagangan minggu ini dengan prestasi rendah susulan penurunan di Wall Street, berikutan kebimbangan terhadap perang perdagangan yang berpanjangan sekali gus terus menjejaskan minat risiko.

“Bagaimanapun, pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lepas serta potensi pelonggaran dasar monetari selanjutnya dijangka membantu mengurangkan risiko penurunan, terutama ke atas saham hartanah memandangkan kadar gadai janji yang lebih rendah.

“Kami melihat ini sebagai peluang pembelian ke atas REIT, yang terus menawarkan hasil dividen yang menarik berbanding bon Malaysia,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu menambah kalangan pelabur akan memantau data ekonomi Amerika Syarikat minggu ini, termasuk inflasi, jualan runcit, dan tuntutan pengangguran.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM9.73, CIMB menambah 2.0 sen kepada RM6.70, manakala Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.31. Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM13.96 dan RM6.58.

Antara saham aktif, Jiankun, UEM Sunrise dan Pharmaniaga masing-masing meningkat setengah sen kepada 3.0 sen, 76.5 sen dan 17 sen. Land and General turun setengah sen kepada 11 sen, manakala NationGate kurang 2.0 sen kepada RM1.61.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 17.18 mata kepada 11,560.76, Indeks FBMT 100 menambah 14.80 mata kepada 11,323.54, dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 22.91 mata kepada 11,575.38.

Indeks FBM 70 menokok 33.96 mata kepada 16,795.31, manakala Indeks FBM ACE menguncup 2.30 mata kepada 4,535.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 33.57 mata kepada 17,641.70, Indeks Perladangan naik 35.15 mata kepada 7,485.60, dan Indeks Tenaga meningkat 5.35 mata kepada 742.97.

ndeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.16 mata kepada 153.93.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE