KUALA LUMPUR, 14 Julai - Malaysia dijangka muncul sebagai hab utama bagi tekstil halal dan berteknologi tinggi di rantau ini dalam tempoh lima tahun akan datang, berdasarkan kekuatan negara dalam pensijilan halal, kepakaran industri, dan inovasi fabrik.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM, Profesor Madya Dr. Rohana Zur berkata, meskipun Malaysia bukan pengeluar utama seperti Vietnam atau Kemboja, negara ini menonjol dalam pembangunan tekstil berteknologi tinggi termasuk fabrik pintar dan mesra alam.
"Malaysia mungkin bukan yang utama dari segi kuantiti, tetapi dari segi teknologi dan pensijilan, kita antara yang terkehadapan," ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa konsep halal dalam industri tekstil semakin diterima dan dicari oleh pengguna global yang mementingkan ketelitian, keselamatan, serta kualiti dalam proses penghasilan fabrik.
Tambah beliau, dengan peralihan industri global ke arah produk yang memenuhi standard tinggi, Malaysia berpotensi menarik pelabur asing yang bukan sekadar mencari kos pengeluaran rendah.
"Kalau mereka mahu pengeluaran besar-besaran, Vietnam menjadi pilihan.
"Tetapi jika mereka mencari fabrik halal dan berkualiti, Malaysia adalah destinasi yang sesuai," katanya.
Beliau optimis bahawa dengan hala tuju yang konsisten dan sokongan dasar yang kukuh, Malaysia bakal menjadi pusat rujukan serantau dalam bidang tekstil halal dan teknologi menjelang tahun 2030.