fb fb fb fb fb

MIDA perlu sasar pelaburan diluluskan 10 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 8 Mac - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) harus meletakkan sasaran peningkatan pelaburan diluluskan sekurang-kurangnya 10 peratus lebih tinggi berbanding RM329.5 bilion pada tahun lepas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata terdapat hubung kait antara pelaburan diluluskan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) , justeru, ia perlu disejajarkan.

“Pendapat saya kalau jangkaan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan bahawa KDNK kita akan berkembang antara empat hingga lima peratus untuk tahun ini, jadi, MIDA kenalah sasar sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Memang saya tahu pelaburan ini juga bergantung kepada faktor-faktor luar tetapi kita mesti ada sasaran kerana pelaburan itu adalah satu komponen untuk KDNK, jadi kita kenalah sejajar dengan sasaran KDNK,” katanya kepada pemberita selepas Seminar mengenai Laluan Rel Pantai Timur-Projek Pemecut Ekonomi (ECRL–EAP) Peluang Perniagaan dan Pelaburan, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata terdapat tiga tahap proses pelaburan diluluskan iaitu pelabur yang komited untuk membuat pelaburan, kemudian diluluskan oleh pihak agensi, dan selepas itu barulah pelaburan dilaksanakan.

“Saya fikir kita perlu ada petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pelaburan dilaksanakan dan juga pelaburan yang diluluskan. Jadi kita akan melakukannya,” katanya.

TETITIA YUSOFF