fb fb fb fb fb

Maybank IB unjur ekonomi Malaysia tumbuh 4.4 peratus tahun ini

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 12 Januari- Unjuran Maybank Investment Bank (Maybank IB) bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia mencecah 4.4 peratus pada 2024 berbanding 3.9 peratus bagi tahun sebelumnya, adalah bersandarkan kepada kebalikan aliran susulan keadaan ekonomi yang menyederhana pada 2023.

Menerusi Sesi Taklimat Media Mengenai Prospek Pasaran 2024 semalam, Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Suhaimi Ilias berkata ini disebabkan oleh kesan asas rendah yang ketara pada 2023 selepas ekonomi melonjak hampir 9.0 peratus pada 2022 berikutan pembukaan semula ekonomi.

Beliau berkata unjuran oleh Maybank IB itu juga disokong oleh gabungan faktor seperti perbelanjaan pengguna yang lebih berdaya tahan, momentum positif pertumbuhan pelaburan yang berterusan serta jangkaan pemulihan eksport barangan dan perkhidmatan.

“Bukannya optimis saya ini sesuatu yang keterlaluan kerana unjuran itu berkaitan kebalikan aliran (akibat keadaan ekonomi yang menyederhana pada 2023) dan unjuran pertumbuhan ekonomi itu juga adil.

“Saya juga melihatnya sebagai kesan yang cukup memberangsangkan untuk dijangkakan berikutan landskap global dan persekitaran domestik tahun ini seperti pertumbuhan global lebih perlahan akibat penurunan ekonomi Amerika Syarikat serta pertumbuhan China yang perlahan,” katanya.

Mengulas prestasi perdagangan, Suhaimi berkata senario Laut Merah yang menyaksikan serangan terhadap perkapalan antarabangsa susulan tindakan Israel ke atas Palestin, juga tidak menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu berisiko melewatkan lagi pemulihan ekonomi berikutan kemungkinan berlakunya lencongan komoditi serta produk yang perlu melalui Laut Merah.

“Kebimbangan lain adalah kemungkinan inflasi meningkat apabila laluan perkapalan penting di Laut Merah itu terjejas,” katanya.

Sementara itu bagi prestasi ringgit, Ketua Serantau Penyelidikan Pertukaran Asing Kumpulan Maybank, Saktiandi Supaat berkata kumpulan itu tidak menjangkakan ringgit mencecah RM4.80 berbanding dolar AS pada 2024, walaupun tidak mencecah paras Oktober 2023 yang kebanyakannya didorong oleh pengukuhan dolar AS.

Menurutnya, kumpulan itu mengunjurkan ringgit di paras RM4.70 dalam tempoh terdekat dan RM4.44 hingga RM4.30 bagi jangka panjang.

"Kami tidak mengambil kira senario terburuk di peringkat domestik yang mendorong ringgit di paras RM4.80 pada masa ini.

"Bagi Malaysia, kami melihat nilai saksama bergerak ke arah RM4.10-RM4.30 (berbanding dolar AS). Bagaimanapun, kemungkinan (susut ke paras RM4.80) memerlukan faktor luaran tertentu yang boleh menyebabkan dolar AS mengukuh secara ketara," katanya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE