KUALA LUMPUR, 13 Disember – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1.4 juta bagi membantu komuniti yang terjejas akibat banjir di kawasan sekitar tiga lapangan terbang di bawah rangkaiannya.
Bantuan ini melibatkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.
MAHB turut menyediakan 1,000 khemah modular untuk diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta digunakan di pusat pemindahan banjir.
"Pada masa akan datang, pakej bantuan akan turut meliputi set peralatan tempat tidur dan peralatan untuk terus menyokong usaha pemulihan segera," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Selain bantuan makanan, MAHB turut bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi lain untuk mengagihkan bekalan asas kepada masyarakat yang terjejas, termasuk kit kebersihan dan makanan tidak mudah rosak.
Malaysia Airports berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban penduduk terjejas banjir dan menyumbang kepada usaha pemulihan komuniti terjejas.