fb fb fb fb fb

Kadar pengangguran turun, prestasi tenaga buruh tunjuk peningkatan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Kadar pengangguran negara turun kepada 3.3 peratus pada November lalu, kembali ke paras prapandemik.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerusi kenyataan berkata, prestasi tenaga buruh menunjukkan peningkatan, menandakan pertumbuhan positif ekonomi semasa.

Bilangan tenaga buruh terus mencatat peningkatan, naik 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17 juta orang.

Kadar penyertaan tenaga buruh bagi November 2023 pula kekal pada 70.1 peratus, seperti bulan sebelumnya.

Sementara itu, bilangan penganggur berkurangan sebanyak 0.3 peratus kepada 569,200 orang.

Mengikut sektor ekonomi, hampir semua sektor mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, kecuali sektor pertanian.

Bagi 11 bulan pertama 2023, pasaran buruh negara menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil, disebalik beberapa cabaran termasuk bencana banjir.

Musim cuti akan datang dijangka akan terus merancakkan ekonomi, terutama dalam aktiviti pelancongan.

Justeru, landskap pasaran buruh negara dijangka kekal kukuh dalam beberapa bulan akan datang, sejajar prestasi ekonomi negara yang semakin meningkat.

ROSLINA BINTI DIN