KUALA LUMPUR, 7 Julai -Golongan muda dan pembeli insurans kali pertama digalakkan untuk memanfaatkan inisiatif Pakej Permulaan i-MULA 50, dengan baki dana subsidi berjumlah RM2.2 juta masih tersedia.
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu merupakan komitmen berterusan untuk memperluas akses kepada perlindungan kewangan serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan memiliki perlindungan insurans.
"Setakat ini, lebih 56,000 rakyat Malaysia telah berjaya mendapatkan perlindungan insurans menerusi program ini, dengan RM2.8 juta daripada jumlah keseluruhan dana RM5 juta telah dimanfaatkan bagi menggalakkan keterangkuman kewangan dan perlindungan risiko, khususnya dalam kalangan belia," menurut kenyataan itu.
Permohonan bagi inisiatif itu dibuka sehingga 31 Disember ini atau sehingga dana yang diperuntukkan habis digunakan.
Program i-MULA 50 telah dilancarkan pada 28 Ogos 2024 dengan menawarkan subsidi sebanyak RM50 kepada pembeli insurans kali pertama bagi membantu mereka mendapatkan polisi insurans hayat asas.
Inisiatif itu disokong syarikat-syarikat ahli LIAM untuk memudahkan akses kepada pelan perlindungan asas yang mampu milik dan relevan, khususnya kepada golongan belia dan isi rumah berpendapatan rendah.
Ia juga turut membantu bagi memupuk kesedaran dan penghargaan terhadap kepentingan perlindungan insurans dalam kalangan rakyat Malaysia.
Program yang merangkumi 33 pelan perlindungan insurans mampu milik itu menawarkan pelbagai manfaat penting.
Antaranya termasuk perlindungan kematian, hilang upaya kekal menyeluruh (TPD), penyakit kritikal, perbelanjaan perubatan dan pendapatan hospital.
Selain itu, premium tahunan bagi pelan-pelan itu antara RM75 hingga RM600, dan pemegang polisi hanya perlu membuat sumbangan minimum RM25 untuk melayakkan diri menerima subsidi RM50.