fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

Foto fail

KUALA LUMPUR, 7 Julai -Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah, dipengaruhi aktiviti jualan yang sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Menurut penganalis, ia terutamanya dalam kaunter utiliti dan kewangan, seiring dengan prestasi lemah pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 12.92 mata kepada 1,537.27 daripada 1,550.19 semasa ditutup Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 5.45 mata kepada 1,544.74.

Pasaran lebih luas adalah negatif dengan 726 kaunter rugi mengatasi 187 kaunter untung manakala 390 kaunter tidak berubah, 1,101 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 2.61 bilion unit bernilai RM1.40 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran kekal terjejas dengan faktor luaran, namun pembelian saham tempatan perlu diteruskan berikutan penilaiannya yang kekal munasabah.

“Indeks Hang Seng menyusut di bawah paras 24,000 berikutan peniaga menjual lebih awal daripada tarikh akhir tarif pada 9 Julai. Di pasaran tempatan, FBM KLCI agak berdaya tahan untuk kekal melebihi paras 1,550.

“Kami menjangkakan dana asing terus menjadi pembeli terutamanya terhadap saham mewah yang ketinggalan. Kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,545-1,555 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional menyusut 26 sen kepada RM13.80, YTL Power dan MISC masing-masing rendah 15 sen kepada RM3.97 dan RM7.60 manakala Public Bank berkurangan lima sen kepada RM4.33 dan Petronas Chemical susut sembilan sen kepada RM3.41.

Bagi saham paling aktif, Nationgate menyusut 14 sen kepada RM1.64 manakala NexG naik 1.5 sen kepada 41.5 sen, Zetrix AI susut tiga sen kepada 96.5 sen, Gamuda berkurangan 11 sen kepada RM4.99, dan Tanco kekal tidak berubah pada 89 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 106.46 mata kepada 11,511.26, Indeks FBMT 100 susut 104.93 mata kepada 11,285.77, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 125.54 mata kepada 11,492.28.

Indeks FBM 70 susut 198.43 mata kepada 16,588.61 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 74.53 mata kepada 4,451.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 83.70 mata kepada 17,707.52, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 1.67 mata kepada 155.41, dan Indeks Tenaga susut 4.85 mata kepada 736.76 manakala Indeks Perladangan rendah 32.32 mata kepada 7,416.42.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Capital A berkata dagangan sekuritinya disambung semula mulai 10 pagi ini selepas digantung selama satu jam. - BERNAMA

 

TETITIA YUSOFF