KUALA LUMPUR, 16 Februari- Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari ini, didorong oleh sokongan belian selepas saham Amerika Syarikat (AS) ditutup positif dan pasaran saham Asia mendapat momentum.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.55 mata kepada 1,530.93 daripada 1,528.38 pada Khamis.
Indeks barometer, yang dibuka tinggi 2.30 mata kepada 1,530.68 pagi ini, bergerak antara 1,529.30 dan 1,534.53 pada sesi tersebut.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 463 berbanding 418 manakala 444 kaunter tidak berubah, 975 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.11 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.
Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities berkata pasaran akan memantau musim pelaporan pendapatan korporat untuk peluang dagangan berikutan berpendapat kebanyakan syarikat dijangka melebihi jangkaan susulan suku keempat 2023 merupakan suku tahun yang mencatatkan pemulihan berdasarkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM9.43. CIMB dan Petronas Chemicals, masing-masing meningkat dua sen kepada RM6.38 dan RM6.86 serta Public Bank naik satu sen kepada RM4.40.
Bagi saham aktif, TWL dan Hong Seng, masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen dan dua sen, Minetech meningkat setengah sen kepada 17.5 sen, Fitters naik setengah sen kepada lima sen manakala warannya tidak berubah pada setengah sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 18.34 mata kepada 11,385.0, Indeks FBM 70 naik 19.08 mata kepada 15,378.31, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 25.47 mata kepada 11,431.23 manakala Indeks FBM ACE merosot 21.46 mata kepada 4,875.09.
Indeks FBMT 100 naik 17.21 mata kepada 11,035.43.
Mengikut sektor, Indeks Hartanah meningkat 2.24 mata kepada 923.64 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.53 mata kepada 175.57.
Indeks Perladangan menambah 20.32 mata kepada 7,236.40, Indeks Tenaga naik 2.50 mata kepada 891.84 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 39.84 mata kepada 17,181.69. -BERNAMA