KUALA LUMPUR, 29 April- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini sejajar dengan kebanyakan bursa serantau berikutan ia mengambil petunjuk daripada Wall Street yang ditutup kukuh pada Jumaat lepas.
Pasaran Amerika Syarikat (AS) meningkat minggu lepas, didorong oleh pendapatan yang kukuh dalam saham teknologi.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.54 mata kepada 1,581.70 daripada 1,575.16 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.14 mata kepada 1,576.30 dan bergerak antara 1,575.0 dan 1,582.05 pada sesi pagi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 351 berbanding 299 manakala 780 kaunter tidak berubah, 943 tidak diniagakan dan 112 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.78 bilion unit bernilai RM1.70 bilion.
Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia diniagakan dalam julat positif dalam kebanyakan sesi dagangan pagi disokong oleh minat belian dalam saham utiliti dan telekomunikasi.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pada amnya, semua subindeks di Bursa telah mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu pada tahun ini, kecuali untuk sektor teknologi dan telekomunikasi.
“Oleh itu, kami percaya mereka cuba untuk mencapai kedudukan yang sama berdasarkan pasaran yang positif, selain pemangkin Sidang Kemuncak KL20, apabila Malaysia akan memberi tumpuan kepada ekosistem teknologi pada masa depan,” katanya.
Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun menambah 0.81 peratus kepada 37,934.76, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.29 peratus kepada 17,878.13 dan Kospi Korea Selatan naik 0.93 peratus kepada 2,681.16.
Indeks Komposit SSE China meningkat 0.80 peratus kepada 3,113.29, bagaimanapun Indeks Straits Times Singapura merosot 0.22 peratus kepada 3,272.79.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan tiga sen kepada RM9.76 manakala Public Bank dan CIMB, masing-masing merosot dua sen kepada RM4.19 dan RM6.59. IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.30 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM11.92.
Bagi saham aktif, MYEG berkurangan setengah sen kepada 91.0 sen, Capital A dan Top Glove, masing-masing menambah 5.5 sen kepada 79.0 sen dan 88.5 sen manakala TWL Holdings dan Bina Puri, masing-masing tidak berubah pada tiga sen dan 7.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 53.81 mata kepada 11,880.60, Indeks FBMT 100 meningkat 52.44 mata kepada 11,513.89 dan Indeks FBM 70 menambah 94.99 mata kepada 16,511.77.
Indeks FBM Emas Shariah naik 62.42 mata kepada 12,054.37, bagaimanapun Indeks FBM ACE berkurangan 0.86 mata kepada 5,061.15.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 0.49 mata kepada 977.91, Indeks Perladangan menambah 18.61 mata kepada 7,421.56 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.82 mata kepada 188.15.
Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 33.08 mata kepada 17,270.73.- BERNAMA