fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Bursa Malaysia ditutup sedikit rendah hari ini dalam persekitaran pasaran serantau yang lemah berikutan hasil bon Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi mempengaruhi selera risiko global manakala peningkatan konflik di Timur Tengah melembapkan lagi sentimen, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.62 mata kepada 1,441.04 daripada 1,442.66 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka tinggi 0.69 mata kepada 1,443.35 dan bergerak antara 1,438.36 dan 1,443.75 sepanjang sesi dagangan. Indeks itu pulih daripada penurunan awal pada sesi tengah hari berikutan pembelian pada harga rendah yang sederhana, tetapi bertahan hanya sejam.

Pada keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 558 kepada 315, manakala 464 kaunter tidak berubah, 1,020 tidak diniagakan dan sembilan digantung. Jumlah dagangan meningkat kepada 3.51 bilion unit bernilai RM1.9 bilion daripada 3.07 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Khamis.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata aliran menurun di bursa tempatan berpunca daripada kebimbangan terhadap kecenderungan menaikkan kadar faedah dalam kenyataan Rizab Persekutuan AS semalaman, yang turut memberi kesan buruk kepada pasaran serantau.

“Buat masa ini, kami menganggap bahawa kecenderungan aliran menurun mungkin berlarutan memandangkan ketiadaan pemangkin baharu. Pada masa hadapan, kami menjangka pelabur akan terus memantau perkembangan ketegangan geopolitik di Timur Tengah,” katanya kepada Bernama.

Leong berkata pelabur turut memantau pengeluaran pendapatan korporat AS yang mungkin menentukan pergerakan di Wall Street.

Dengan indeks utama terus berlegar dalam julat dagangan yang kecil, sebarang pemulihan di atas paras rintangan 1,446 pada masa terdekat mampu mendorong indeks utama lebih tinggi ke arah julat 1,464-1,488, katanya.

"Sekiranya tidak dapat bertahan pada paras 1,438, pembetulan selanjutnya boleh menyebabkan indeks utama turun pada paras sokongan seterusnya iaitu pada 1,424," katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa serantau berada di bawah tekanan jualan hari ini berikutan peningkatan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS mencecah 5.0 peratus - paras tertinggi sejak 2007.

Selain itu, konflik di Timur Tengah terus menjejaskan sentimen kerana ia mungkin mengganggu bekalan minyak, yang akan meningkatkan inflasi lebih tinggi dan membawa kepada kenaikan kadar oleh bank pusat, katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura susut 0.74 peratus kepada 3,076.69, Nikkei 225 Jepun turun 0.54 peratus kepada 31,259.36 dan Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.72 peratus kepada 17,172.13.

SSE Composite China susut 0.74 peratus kepada 2,983.06 dan Kospi Korea Selatan turun 1.69 peratus kepada 2,375.0.

Di bursa tempatan, kaunter wajaran tinggi Bursa, Maybank naik tiga sen kepada RM8.99, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.14 dan CIMB menokok empat sen kepada RM5.62. IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.95.

Petronas Chemicals susut 3.743 peratus atau 28 sen untuk ditutup pada RM7.20 manakala Tenaga jatuh 1.6 peratus atau 16 sen kepada RM9.82.

Bagi saham aktif, PUC dan PDZ Holdings masing-masing naik setengah sen kepada lima sen dan 3.5 sen. Aldrich menokok 1.5 sen kepada 4.5 sen, Systech menokok 5.5 sen kepada 58.5 sen manakala Asdion dan Kanger tidak berubah, masing-masing pada lapan sen dan 11.5 sen.

(Foto hiasan)

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 21 mata kepada 10,620.44, Indeks FBMT 100 susut 16.3 mata kepada 10,297.98, Indeks FBM Emas Syariah turun 49.6 mata kepada 10,859.95, Indeks FBM 70 merosot 42.62 mata kepada 13,972.88, bagaimanapun, Indeks ACE naik 23.79 mata kepada 5,129.69.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.49 mata kepada 172.39 dan Indeks Perladangan turun 28.33 mata kepada 6,909.97.

Indeks Perkhidmatan Kewangan bagaimanapun meningkat 49.04 mata kepada 16,190.33 dan Indeks Tenaga menokok 6.39 mata kepada 881.08.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat sedikit pada 1.88 bilion unit bernilai RM1.59 bilion berbanding 1.86 bilion unit bernilai RM1.71 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 332.32 juta unit bernilai RM38.82 juta berbanding 429.41 juta unit bernilai RM49.53 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.29 bilion saham bernilai RM274.58 juta daripada 762.42 juta saham bernilai RM255.71 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 369.26 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (417.46 juta); pembinaan (225.36 juta); teknologi (128.5 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (67.32 juta); hartanah (223.77 juta); perladangan (26.03 juta); REIT (8.36 juta), dana tertutup (140,700); tenaga (167.39 juta); penjagaan kesihatan (41.91 juta); telekomunikasi dan media (22.51 juta); pengangkutan dan logistik (133.27 juta); dan utiliti (53.45 juta).- BERNAMA

Media Baharu