fb fb fb fb fb

Bank Islam perkukuh modal, terbit Sukuk Murabahah RM250 juta

Bank Islam perkukuh modal, terbit Sukuk Murabahah RM250 juta / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Bank Islam Malaysia Berhad menerbitkan tranche kelapan Sukuk Murabahah Subordinat berjumlah RM250 juta bawah Program Sukuk Murabahah bernilai RM10 bilion milik bank tersebut.

Dalam satu kenyataan, Bank Islam memaklumkan terbitan sukuk itu merupakan sebahagian daripada strategi pengurusan modal yang proaktif dan menjadi elemen penting dalam perancangan modal serta pembiayaan jangka panjang bank berkenaan.

“Sukuk Murabahah ini layak diklasifikasikan sebagai modal Aras 2 di bawah Rangka Kerja Kecukupan Modal bagi Institusi Perbankan Islam oleh Bank Negara Malaysia, sekali gus menyokong usaha berterusan Bank Islam untuk mengekalkan penampan modal yang kukuh,” jelas kenyataan itu.

Sukuk dengan tempoh matang selama 10 tahun itu turut menerima penarafan A1 dengan prospek stabil daripada RAM Rating Services Berhad, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan prestasi kewangan Bank Islam.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN