fb fb fb fb fb

Ringgit rendah berbanding dolar AS susulan Fed dijangka tangguhkan penurunan kadar faedah

Foto fail

KUALA LUMPUR, 29 Mei - Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat semakin tipis, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.2300/2650 berbanding dolar AS daripada 4.2215/2275 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.36 peratus kepada 99.875 selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menunjukkan risiko stagflasi yang meningkat boleh menangguhkan pelaksanaan pelonggaran dasar monetari pada tahun ini.

“Fed dilihat bimbang mengenai risiko daripada inflasi yang kekal tinggi walaupun prospek pertumbuhan pekerjaan kurang menggalakkan.

“Fed mungkin keberatan untuk menurunkan kadar faedah semata-mata untuk menyokong pertumbuhan berikutan ini mewujudkan dilema dasar susulan ia juga perlu memastikan inflasi kekal terkawal,” katanya kepada Bernama.

Merujuk kepada minit mesyuarat FOMC yang terkini, Mohd Afzanizam berkata risiko kemelesetan ekonomi di AS meningkat berikutan ketidaktentuan dasar perdagangan dan sekatan eksport boleh menjejaskan aktiviti ekonomi.

Oleh itu, katanya pada mesyuarat FOMC yang akan datang pada Jun, kakitangan Fed dijangka mengeluarkan unjuran makroekonomi yang telah disemak semula, dengan jangkaan pelarasan penurunan daripada unjuran pada Mac.

Pada sesi pembukaan, bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8998/9240 daripada 2.9271/9315 pada Rabu, naik berbanding euro kepada 4.7494/7887 daripada 4.7838/7906 dan tinggi berbanding pound kepada 5.6779/7249 daripada 5.7028/7109.

Sementara itu, mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2674/2950 daripada 3.2776/2825 pada Rabu dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8771/9947 daripada 12.9355/9614.

Bagaimanapun, ia rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 259.5/261.8 daripada 259.0/259.5 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.69 daripada 7.60/7.62. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF