fb fb fb fb fb

ASNB umum agihan pendapatan 5.25 sen bagi ASB 2 dan 4.75 sen bagi ASM

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan 5.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024.

Permodalan Nasional Berhad (PNB), dalam kenyataannya memaklumkan, jumlah pembayaran pengagihan sebanyak RM670 juta itu bakal memanfaatkan 552,297 pemegang unit.

Pengurus dana itu juga mengumumkan pengagihan pendapatan 4.75 sen bernilai RM1.33 bilion untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024, yang bakal memanfaatkan 699,807 pemegang unit.

Menurut PNB, sehingga 25 Mac, 2024, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM659.95 juta manakala ASM sebanyak RM1.42 bilion.

“Kedua-dua dana memperoleh pendapatan menerusi pendapatan terealisasi dan dividen daripada pelaburan domestik dan antarabangsa dalam persekitaran inflasi yang tidak menentu serta kebimbangan terhadap peningkatan kemelesetan ekonomi.

“Kedua-dua dana juga menjana hasil daripada strategi kepelbagaian portfolio dalam kelas aset lain seperti hartanah dan pelaburan persendirian, dengan penekanan terhadap instrumen pendapatan tetap yang menyediakan pendapatan berulang stabil,” katanya.

PNB berkata pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.25 peratus dan 4.75 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras deposit tetap 12-Bulan Maybank pada 2.84 peratus sebanyak 241 mata asas bagi ASB 2 dan 191 mata asas untuk ASM.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

“Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2024,” katanya.

Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 29 hingga 31 Mac 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh meneruskan semula urus niaga di portal myASNB atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 April 2024.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE