SEPANG, 5 Januari - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia akan menyediakan 134 penerbangan tambahan lewat malam ke tujuh destinasi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena Tahun Baharu Cina.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata syarikat penerbangan itu akan menawarkan harga tambang rendah tetap dengan harga RM298 dan RM348 sehala bermula hari ini sehingga 15 Februari.
Beliau berkata, untuk harga RM298 ia melibatkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri, Sibu, Kuching, dan Bintulu, serta Johor Bahru ke Sibu, Miri, dan Kuching.
Manakala penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau dan juga antara Johor Bahru dan Kota Kinabalu dengan harga RM348 sehala.
"Ini akan menjadi persaingan sihat di antara syarikat penerbangan. Usaha ini dilihat akan membantu untuk mengawal dan mengurangkan kos kepada pelanggan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman tawaran tambang rendah tetap AirAsia untuk perjalanan sempena Tahun Baharu Cina, di sini.
Tambah Loke, AirAsia juga turut mengendalikan 408 penerbangan mingguan dengan tambang biasa ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk menyokong inisiatif kerajaan pada musim perayaan.