fb fb fb fb fb

Zuraida gagal dapat kebenaran mahkamah iktiraf Presiden PBM

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, gagal mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengiktirafnya sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Hakim, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan itu atas alasan mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 iaitu mahkamah tidak boleh mendengar apa-apa pertikaian dalaman parti.

Berdasarkan seksyen itu juga mahkamah turut terikat dengan keputusan dibuat oleh mahkamah yang lebih tinggi berhubung isu berkenaan.

Prosiding pagi tadi dihadiri Peguam Persekutuan M. Kogilambigai dan peguam Mohamed Ashmeer Ashrof yang mewakili Datuk Zuraida.

Pada 12 April lepas, Jabatan Peguam Negara membantah permohonan Datuk Zuraida untuk mendapatkan kebenaran mahkamah dengan alasan seksyen itu menetapkan bahawa keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu atau dipersoalkan oleh mahkamah.

Datuk Zuraida, 65, yang memfailkan permohonan pada 24 Mac dan menamakan RoS sebagai responden tunggal, memohon pengisytiharan bahawa tindakan RoS mengekalkan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shen sebagai presiden PBM adalah tidak sah dan memohon perintah mandamus untuk mengarahkan RoS mengiktiraf beliau sebagai presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022.

(Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur)

Media Baharu